Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

19.02.19 Lawatan Kerja Rasmi Majlis Persekutuan Rusia Ke MMN

Hari Selasa, 19 Februari 2019, Bangunan Dewan Majlis (Jalan Dewan Majlis) –      Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara hari ini telah menerima kunjungan dari Puan Yang Terutama Valentina Matviyenko, Chairperson of the Federation Council of the Federal Assembly of the Russian Federation.  Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

01.jpg

(gambar dari: Pelita Brunei)

Kunjungan tersebut mempertingkatkan dan memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak yang dapat dilihat dari lawatan-lawatan yang telah diadakan di kedua-dua negara.  Kunjungan Puan Yang Terutama ke Dewan Majlis juga adalah merupakan kunjungan timbal balas berikutan kunjungan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara ke Persekutuan Rusia pada tahun 2016. 

Majlis Kunjungan Muhibah pada hari ini juga disertai oleh Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Brunei Darussalam dan Mr. Ilyas Umakhanov, Deputy Chairperson of the Federation Council of the Federal Assembly of the Russian Federation.

Selesainya Majlis Kunjungan Muhibah, majlis diteruskan lagi dengan Mesyuarat Dua Hala di antara kedua-dua pihak.  Puan Yang Terutama Valentina Matviyenko disertai oleh rombongannya terdiri dari beberapa orang ahli Parlimen Federation Council of the Federal Assembly of the Russian Federation serta beberapa orang pegawai dari Federation Council tersebut.  Mesyuarat Dua Hala tersebut merupakan satu landasan bagi kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai hala selain dari membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan dan keprihatinan bersama.  Mesyuarat tersebut juga mengukuhkan lagi jalinan muhibah antara pihak Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam dan juga Federation Council of the Federal Assembly of the Russian Federation.

Antara perkara-perkara yang dibincangkan di dalam Mesyuarat Dua Hala pagi tadi adalah seperti bidang pendidikan tinggi iaitu pertukaran pelajar dan penempatan kerja dalam memberikan peluang pengalaman dan pendedahan kepada pelajar-pelajar dari kedua belah pihak.  Perkara lain yang disentuh juga mengenai masalah perubahan iklim, justeru kerjasama dalam mengurangkan masalah ini adalah sangat diharapkan dan perbincangan dalam mengadakan sebuah kerjasama dalam pengurusan bencana alam juga dibangkitkan.  

Kedua belah pihak juga membincangkan kerjasama dalam bidang yang lainnya seperti hubungan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta pertanian.  Kedua belah pihak mengharapkan kerjasama dan hubungan antara satu sama lain adalah berpanjangan dan berdasarkan kepada kepercayaan dan kefahaman bersama.  Dalam mewujudkan dan mengukuhkan hubungan serta kerjasama tersebut, kedua belah pihak bolehlah menggunakan landasan atau platform pertubuhan dan organisasi antarabangsa.

Hadir sama pada Mesyuarat tersebut, 1. Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal, Ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja dan Ahli Mesyuarat Negara, 2. dan beberapa orang Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara.

Selesainya Mesyuarat Dua Hala, majlis diteruskan dengan sebuah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam dan Federation Council of the Federal Assembly of the Russian Federation.  Majlis ini merupakan satu peristiwa bersejarah bagi Majlis Mesyuarat Negara dengan harapan MOU tersebut dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan di antara kedua-dua pihak.

02.jpg

(gambar dari: Pelita Brunei)

Rombongan dari Persekutuan Rusia juga berkesempatan untuk melawat  ke Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara iaitu tempat bersidangnya Majlis Mesyuarat Negara setiap tahun bagi membincangkan perkara utama iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan bagi Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

 Puan Yang Terutama Valentina Matviyenko, Chairperson Federation Council of the Federal Assembly of the Russian Federation dan rombongan berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan kerja rasmi selama dua hari iaitu 18 – 19 Februari 2019.

Attachments