Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

20.03.18 BND900 Juta Peruntukan Bagi 182 Projek

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 20 Mac. – Pengagihan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) pada Tahun Kewangan 2018/2019 antara lain mengambil kira komitmen projek-projek yang telah siap tetapi masih ada tanggungan dan projek dalam pelaksanaan serta keupayaan kementerian – kementerian dalam melaksanakan projek-projek yang dirancang.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa menyampaikan ucapan pendahuluan mengenai peruntukan wang kemajuan bagi tahun 2018/2019.

Anggaran Perbelanjaan Kemajuan bagi RKN Tahun Kewangan 2018/2019, jelas Yang Berhormat adalah dicadangkan keseluruhannya sebanyak BND900 juta di mana peruntukan yang disediakan adalah untuk membiayai sebanyak 182 projek iaitu 151 projek baharu dan 31 projek yang ditunda dari RKN10 iaitu projek-projek siap disediakan peruntukan sebanyak BND64 juta (7.1 peratus); projek dalam pelaksanaan disediakan peruntukan sebanyak BND713.9 juta (79.3 peratus); manakala projek-projek dalam peringkat tawaran; peringkat rekabentuk; dan yang masih dalam perancangan, disediakan peruntukan sebanyak BND122.08 juta (13.6 peratus).

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, sehingga 15 Mac 2018, perbelanjaan sebenar RKN bagi tahun kewangan 2017/2018 adalah berjumlah BND792.65 juta iaitu 79.2peratus dari peruntukan asal BND1 billion yang telah disediakan, menjadikan jumlah perbelanjaan RKN10 adalah sebanyak BND6,209.27 juta.

Dalam pada itu, jelas Yang Berhormat lagi pihak Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri akan terus membuat pemantauan rapi bagi memastikan projek-projek RKN dilaksanakan mengikut jadual dan peruntukan yang diluluskan dengan mengambil beberapa langkah.

Antara langkah-langkah tersebut ujar Yang Berhormat ialah menggunakan RKN Project Management System (RKNPMS) yang digunakan secara maksima dan dikemaskini oleh agensi pengguna dan pelaksana; mengadakan lawatan berjadual dan atau surprise visits ke tapak-tapak projek bagi memastikan progres fizikal menepati jadual yang ditetapkan; dan memastikan cadangan perbelanjaan bagi setiap projek termasuk skop dan spesifikasi kerja diteliti secara terperinci bagi mengelakkan daripada pembaziran dan kerugian dalam perbelanjaan Kerajaan.

Yang Berhormat juga menyatakan langkah yang diambil termasuklah memberikan penekanan kepada Value for Money dan konsep guna-sama manakala perancangan perbelanjaan perlulah berdasarkan standard rates bagi kos binaan untuk bangunan atau projek-projek Kerajaan supaya projek-projek tidak over-specified dan berlebihan fungsi dari keperluan sebenar.

Terdahulu Yang Berhormat mengongsikan pencapaian projek di bawah RKN10 di mana 568 buah projek yang diluluskan iaitu sebanyak 454 buah projek (79.9 peratus) telah siap dilaksanakan; 43 buah projek (7.6 peratus) dalam peringkat pelaksanaan; 37 buah projek (6.5 peratus) dalam peringkat tawaran; dan 34 buah projek (6.0 peratus) dalam peringkat reka bentuk dan perancangan.

Pemilihan projek-projek di bawah RKN dan penetapan peruntukan jelas Yang Berhormat adalah terlebih dahulu dihadapkan oleh Kementerian – Kementerian kepada Peneraju-Peneraju Strategi Wawasan, untuk memastikan projek-projek benar-benar relevan dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 serta dapat mendokong Tema Belanjawan Tahun Kewangan 2018/2019 iaitu 'Perbelanjaan Produktif dan Berinovasi bagi Memelihara Kemakmuran Negara'.

Attachments