Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

19.03.18 Pelbagai Pilihan Latihan Kemahiran Keusahawanan Bagi Belia

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Mac.- Unit Latihan Kemahiran dan Keusahawanan merupakan unit pembangunan keusahawanan belia di bawah pengurusan Pusat Pembangunan Belia (PPB) yang berperanan memberikan perkhidmatan yang sama seperti yang ditawarkan oleh Program Pembangunan Keusahawanan di Pusat Belia Bandar Seri Begawan dengan sasaran yang khusus kepada pelatih termasuklah bekas pelatih PPB.

Antara program-program yang dilaksanakan oleh unit itu ialah Pendidikan Asas Keusahawanan;  Minggu Keusahawanan; Perancangan Kewangan; Konsultasi Perniagaan; Program Belia Berdikari; Program Keusahawanan Belia; dan Ekspo-Ekspo Jualan.

Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari pada Majlis Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang bagi hari ke-11.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata,  peranan belia dalam pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi negara adalah penting dan amat digalakkan sepertimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-34 dimana baginda antara lain bertitah menegaskan bahawa para belia perlu mengambil peluang untuk meningkatkan keupayaan diri masing-masing melalui program-program yang ditawarkan didalam atau luar negeri".

Peranan utama unit itu katanya, ialah memberikan perkhidmatan yang sama seperti yang ditawarkan oleh Program Pembangunan Keusahawanan di Pusat Belia Bandar Seri Begawan dengan sasaran yang khusus kepada pelatih termasuklah bekas pelatih PPB.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan  seterusnya menambah,  antara program-program yang dilaksanakan oleh unit itu ialah Pendidikan Asas Keusahawanan;  Minggu Keusahawanan; Perancangan Kewangan; Konsultasi Perniagaan; Program Belia Berdikari; Program Keusahawanan Belia; dan Ekspo-Ekspo Jualan.

Manakala, Program Pembangunan Keusahawanan di bawah Pusat Belia, Jabatan Belia dan Sukan yang mula dilaksanakan pada Tahun 2011 juga mempunyai peranan untuk menyumbang kepada penghasilan belia-belia pengusaha yang berpengetahuan inovatif dan produktif. Program ini dibukakan kepada para belia-belia untuk mengikuti secara sukarela.

Tambahnya, antara aktiviti-aktiviti yang ditawarkan oleh program ini adalah seperti Youth Business Talk yang diilaksanakan dua atau sekali setahun dan lazimnya dijalankan selama tiga hari.

Selain itu, program Business Zero To One ialah program ini berupa bengkel keusahawanan singkat yang ditawarkan sebulan sekali seperti tatacara pemasaran dan penjenamaan produk.

"Alhamdulillah aktiviti-aktiviti yang ditawarkan mendapat sambutan yang sangat baik daripada kalangan belia-belia.

"Setakat ini, seramai lebih seribu orang peserta terdiri daripada golongan belia telah menyertai aktiviti-aktiviti yang diselenggarakan. Dan maklum balas daripada para peserta belia terhadap program-program yang ditawarkan adalah sangat positif", ujarnya lagi.

Secara dasarnya, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan  seterusnya  menerangkan,  kedua-dua inisiatif ada mempunyai persamaan yang memberikan kepelbagaian pilihan kepada belia-belia untuk mendapatkan latihan kemahiran dan pengetahuan dalam perekonomian yang dapat diaplikasikan di mana-mana bidang keusahawanan.

"Memandangkan kumpulan sasaran berbeza dan mengambil kira Program Pembangunan Keusahawanan di bawah Pusat Belia mendapat sambutan yang sangat baik, kita berpendapat bahawa buat pada masa ini struktur yang sedia ada untuk dikekalkan. Walau bagaimanapun, kita akan secara berterusan meneliti dari masa ke masa mengenai kesesuaian tersebut", jelas Yang Berhormat lagi.

 (sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments