Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI MMN KE-13 BAGI TAHUN 1438H / 2017M

Hari Isnin, 06 Mac 2017, Bangunan Dewan Majlis (Jalan Dewan Majlis) - Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ketiga Belas Majlis Mesyuarat Negara telah berlangsung pagi tadi dan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketiga Belas Majlis Mesyuarat Negara.

3. Hadir berangkat bersama semasa Istiadat Pembukaan Rasmi tadi ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Duli ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

4. Persidangan  Majlis Mesyuarat Negara bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Minit Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kedua Belas  yang telah bersidang selama 13 hari mulai 05 Mac 2016 hingga 22 Mac 2016.  Persidangan ini kemudiaannya ditangguhkan bagi Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ketiga Belas Majlis Mesyuarat Negara.

5. Majlis Mesyuarat Negara Musim Ketiga Belas ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara. Dibantu oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Mulia Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail, Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

6. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara terdiri daripada Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan (Perdana Menteri dan Menteri-Menteri), Ahli-Ahli Yang Dilantik Orang-Orang Bergelar, Ahli-Ahli Yang Dilantik Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan dan Ahli-Ahli Yang Dilantik Mewakili Daerah.

7. Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Ketiga Belas ini antaranya akan membincangkan perkara utama termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Bagi Tahun Kewangan 2017/2018 bagi Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

8. Majlis Mesyuarat Negara telah ditubuhkan menurut Bab 23 dari Perlembagaan Negara Brunei 1959 dan Ahli-Ahlinya dilantik menurut Bab 24.  Majlis Mesyuarat Negara telah dibubarkan pada tahun 1984 dan pada 25 September 2004, Majlis ini telah mula bersidang semula.  Penubuhan persidangan ini adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-58 tahun pada 15 Julai 2004.

Attachments