Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketiga Belas Majlis Mesyuarat Negara Bagi Tahun 1438H/2017M

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ketiga Belas Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun ini akan berlangsung pada Hari Isnin, 07 Jamadilakhir 1438H bersamaan dengan 06 Mac 2017M bertempat di Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, Bangunan Dewan Majlis di Jalan Dewan Majlis.

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ketiga Belas Majlis Mesyuarat Negara akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis Mesyuarat Negara Musim Ketiga Belas ini akan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib selaku Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.  Dibantu oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Mulia Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail, Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini akan memasuki usia 13 tahun bersidang sejak ianya ditubuhkan semula pada tahun 2004 dan pada tahun ini juga akan melihat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang baru dilantik pada 13 Januari 2017 yang mana sebelumnya ini Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah dibubarkan pada 6 Ogos 2016 setelah tamat tempoh 5 tahun.  Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara terdiri daripada Ahli Rasmi Kerana Jawatan, Orang-Orang Bergelar, Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan dan Wakil-Wakil Yang Dilantik Dari Daerah-Daerah.  Pada tempoh tahun-tahun Majlis bersidang, ianya telah banyak membincangkan dan membahaskan isu-isu dan persoalan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.  Di samping itu juga, persidangan ini amat bermakna bagi Negara Brunei Darussalam dalam usaha Kerajaan menyediakan sebuah platform untuk menyuarakan pendapat dan masalah-masalah secara bermuzakarah dan muafakat agar persidangan dapat menjadi forum secara sihat dalam mengekalkan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini dan juga untuk pembangunan negara yang lebih maju dan kompetitif.

Majlis Mesyuarat Negara telah ditubuhkan menurut Bab 23 dari Perlembagaan Negara Brunei 1959 dan Ahli-Ahlinya dilantik menurut Bab 24.  Majlis Mesyuarat Negara telah dibubarkan pada tahun 1984 dan pada 25 September 2004, Majlis ini telah mula bersidang semula.  Penubuhan persidangan ini adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-58 tahun pada 15 Julai 2004.

Seperti tahun-tahun sebelumnya jua, Sesi Persidangan akan diadakan selepas Istiadat Pembukaan Rasmi yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau pada hari serta waktu yang ditetapkan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.  Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini adalah terbuka kepada orang awam yang berminat untuk mendengarkan perbincangan dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.  Ianya juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada penuntut-penuntut atau mahasiswa/mahasiswi dengan tatacara membincangkan sesebuah rang undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan dengan ini, bagi mana-mana pihak yang berhasrat untuk menghadiri Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara adalah diminta untuk mematuhi beberapa Peraturan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara untuk masuk ke Dewan Majlis termasuklah Peraturan-peraturan semasa di dalam Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.

Pada kebiasaannya, Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara dibahagikan kepada Sesi Pagi yang bermula pada pukul 9:00 pagi hingga     12:00 tengahari dan Sesi Petang yang dimulakan pada pukul 2:00 petang hingga 4:30 petang.

Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada pihak Urusetia Majlis Mesyuarat Negara di talian 2384202 / 2380501 ext 5118.

Attachments