Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

13.12.20 Kerjasama Pacu Pertumbuhan Ekonomi

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 Disember. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis selaku Penghulu Mukim Kota Batu yakin Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Majlis Perundingan Kampung (MPK) Setia 'A' dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga akan menjadi pemacu pertumbuhan yang akan membentuk landskap ekonomi penduduk kampung pada masa akan datang sama ada di peringkat kampung, mukim, daerah mahupun negara.

Selain itu, ia juga membantu perekonomian para penduduk kampung yang kurang berkemampuan dari segi semua aspek termasuk kewangan, kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan seumpamanya.

"Dengan termeterainya MoU ini akan membuka peluang kepada belia dan beliawanis. Dalam masa yang sama juga, saya berharap dan berkeyakinan dengan terlaksananya memorandum ini, kedua-dua MPK akan dapat menjana ilmu pengetahuan dan inovasi, meningkatkan produktiviti, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi yang menjurus kepada memfokuskan usaha peningkatan taraf pendidikan, kemakmuran dan keupayaan sumber tenaga kerja untuk menghadapi dan menuju Wawasan Brunei 2035," katanya. 

Yang Berhormat seterusnya menambah bahawa jika perkara tersebut terlaksana, maka pengeluaran produk-produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) akan meningkat bukan sahaja bagi keperluan kampung dan mukim bahkan untuk keperluan dalam negara dan luar negara dapat dihasilkan. Yang penting adalah kerjasama dan perpaduan di semua peringkat yang terlibat ke arah menjayakan projek itu.

Yang Berhormat juga berharap MPK Setia 'A' dan MPK Sungai Bunga akan dapat dan sentiasa bekerjasama, berdaya tahan serta berdaya saing dalam menghadapi apa jua arus pembangunan dan kemajuan dalam bidang yang akan diusahakan kemudian diperkenalkan ke arah menjadi kampung cemerlang, gemilang dan terbilang.

Penandatanganan MoU antara kedua-dua belah pihak ditandatangani oleh Setiausaha MPK Setia 'A', Awang Wafi bin Haji Wasli dan Setiausaha MPK Sungai Bunga, Awang Mohammad Husaini bin Ali Hassan serta disaksikan sendiri oleh Yang Berhormat Ahli MMN.

Seterusnya, Yang Berhormat juga menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta wanita yang mengikuti Kelas Pemprosesan Kuih-Muih dan Pastri yang diungkayahkan pada sebelah pagi. 

Acara yang diadakan ini adalah antara lain bagi mendukung hasrat pihak kerajaan supaya pimpinan akar umbi seperti MPK untuk berperanan penting bagi membantu meningkatkan sosioekonomi kampung dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan melalui aktiviti-aktiviti perekonomian dan seumpamanya.


(sumber berita: Pelita Brunei)


Attachments