Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

02.10.20 Program ARMECS Beri Pendedahan Graduan Tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Pelancaran Program Penghubung ARMECS merupakan satu mercu tanda utama dalam menyokong visi Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC) dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan dan untuk memastikan mereka mengembangkan kompetensi dan keupayaan yang berkaitan serta boleh diaplikasikan dalam industri pembinaan.

Para pelatih yang dipilih untuk menyertai program berkenaan akan melalui latihan pekerjaan selama enam bulan dalam bidang seni bina, kejuruteraan sivil dan struktur serta kejuruteraan elektrik dan mekanikal bagi mendapatkan pendedahan mendalam dan komprehensif dalam industri pembinaan bidang penyelia dan tapak pembinaan dan pelukis sebelum bekerja dengan majikan iaitu kontraktor atau konsultan bagi tempoh 12 bulan lagi di bawah Program Perintis i-Ready.

Program itu akan bermula pada 5 Oktober ini hingga 30 Mac 2021, jelas ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia dalam Pembinaan (MISC), Yang Berhormat Fdr Ar Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman dalam kata alu-aluannya pada Pelancaran Program Penghubung ARMECS yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran program berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi MPEC.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Paduka Haji Abidin dan timbalan-timbalan menteri yang dilantik selaku ahli dan Jawatankuasa Kerja MPEC.

1.JPG
Menteri-menteri kabinet ketika hadir pada majlis tersebut.
2.JPG
Ir Haji Amer Hishamuddin (kiri) dan Lim Kian Boon (kanan) bertukar-tukar dokumen MoU sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi dan Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah.

Yang Berhormat Fdr Ar Dayang Siti Rozaimeriyanty berkata lagi bahawa komponen utama program berkenaan ialah jurulatih profesional yang berdaftar di mana mereka sebagai profesional mene kankan tiga nilai penting utama iaitu etika, kepercayaan dan profesionalisme.

Majlis kemudian menyaksikan pelancaran Program Penghubung ARMECS yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew di mana program itu merupakan inisiatif pertama daripada inisiatif-inisiatif yang telah disusun melalui rangka kerja dan strategi MISC dalam industri pembinaan.

Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama antara MISC dalam industri pembinaan, Kementerian Pembangunan, pengawal selia, institusi pendidikan dan syarikat-syarikat di sektor industri pembinaan.

Seramai 33 orang pelatih telah berjaya terpilih untuk mengisi kekosongan iReady di syarikat-syarikat di bawah sektor pembinaan, di mana mereka juga akan mengikuti latihan dalam kerja melalui Program Penghubung ARMECS. Majlis juga menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pembangunan dan Politeknik Brunei (PB) di mana menandatangani bagi pihak Kementerian Pembangunan ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan PB diwakili oleh Pemangku Pengarah, Lim Kian Boon dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi dan Timbalan Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola PB, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

(sumber berita: Media Permata)



Attachments