Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

08.09.20 Perhimpunan Agung AIPA Ke-41 Secara Dalam Talian

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 September 2020 – Dalam keadaan masa ini, dunia yang sedang menghadapi cabaran pandemik COVID-19, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari ini telah mengikuti Majlis Pembukaan Rasmi Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly Ke-41 secara dalam talian dihoskan oleh National Assembly of Socialist Republic of Vietnam.  Perhimpunan Agung tahun ini diadakan bermula pada 8 hingga 10 September 2020 dan dihadiri oleh sepuluh (10) buah negara Parlimen AIPA.  Tema Perhimpunan Agung AIPA kali ini ialah "Parliamentary Diplomacy for Cohesive and Responsive ASEAN".  Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; berserta 19 orang Ahli Majlis Mesyuarat Negara.  Hadir bersama ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat.

WhatsApp Image 2020-09-12 at 2.09.41 PM.jpeg

Negara Brunei Darussalam telah menyampaikan sebuah Perutusan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Perhimpunan Agung AIPA ke-41 yang menyatakan tentang tema Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly Ke-41 tahun ini adalah seiring dengan visi ASEAN yang menjurus ke arah ASEAN yang kohesif dan responsif.  Perkara ini telah memberi perhatian terhadap keperluan dalam pengukuhan solidariti di peringkat serantau bagi menangani cabaran dengan lebih berkesan seperti yang telah ditetapkan di dalam Piagam ASEAN dan juga Wawasan Komuniti ASEAN 2025.  Di samping itu, diplomasi parlimen mampu meningkatkan peranan AIPA dalam menyokong ASEAN melalui peningkatan persefahaman di antara negara dan melalui perwakilan rakyat yang lebih baik.

Baginda juga mengambil maklum bahawa agenda bagi Perhimpunan Agung AIPA kali ke-41 tahun ini mengetengahkan usaha-usaha pemulihan akibat wabak COVID-19 yang berkaitan dengan ekonomi, keselamatan sosial serta keamanan dan kestabilan di rantau ini.  Di dalam memetik perutusan Baginda juga, wabak COVID-19 telah mengubah kaedah kerajaan dan parlimen nasional dalam menangani norma baharu dan cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini.  Hasil daripada sifatnya yang tidak menentu ini setentunya memerlukan tindakan segera dalam usaha untuk melindungi kepentingan rakyat sambil menekankan akan kepentingan kesatupaduan dalam komuniti ASEAN.

AIPA, bersama dengan rakan kongsi strategik pada masa ini, juga berperanan penting dalam merangka dan melaksanakan strategi yang berkesan untuk memupuk Komuniti ASEAN yang berpandangan jauh yang mampu bertindak balas secara kolektif dan konstruktif terhadap masalah yang menjadi perhatian ramai.  Bersama-sama, kita mampu untuk mewujudkan ASEAN yang lebih mampan dan berdaya tahan dengan keupayaan tinggi dalam menerima sebarang perubahan positif.  Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong usaha AIPA ke arah pencapaian yang dihasratkan.

Mengakhiri perutusan, Baginda yakin bahawa AIPA akan dapat membantu ASEAN bagi sama-sama mengharungi tempoh yang mencabar ini dan muncul sebagai komuniti yang lebih berdaya tahan.

Majlis Pembukaan Rasmi yang telah diadakan secara dalam talian hari ini dibuka rasmi oleh Puan Yang Terutama Madam Nguyen Thi Kim Ngan, Presiden National Assembly of the Socialist Republic of Vietnam dan Presiden AIPA.  Pada pembukaan rasmi tersebut beliau telah memberikan kenyataan bahawa walaupun pandemik COVID-19 telah mempengaruhi kehidupan sosio-ekonomik dan politik di negara-negara di seluruh dunia, Perhimpunan Agung tahun ini membuktikan hasil usaha Parlimen dalam bekerjasama dengan ASEAN dalam mengatasi kesulitan dan pandemik ini.  Puan Yang Terutama juga mengetengahkan bahawa tema AIPA tahun ini bersama tema ASEAN 2020 menunjukkan persetujuan sepenuh AIPA dan anggota parlimen dan penghargaan yang tepat pada masanya terhadap usaha kerajaan dan rakyat ASEAN dalam mengatasi segala kesulitan, mempromosikan perpaduan, kerjasama, untuk kemakmuran dan lestari Komuniti ASEAN.  Sebagai peranan parlimen, adalah perlu untuk berkerjasama rapat dengan Pemerintah Negara untuk mencari segala cara agar dapat menghentikan wabak COVID-19 dengan segera, memulakan pemulihan dan pembangunan ekonomi, memulihkan kestabilan kehidupan masyarakat, dan meningkatkan lagi kerjasama antara Negara-negara ASEAN semasa dan selepas wabak.   Tindak balas segera dan berkesan dari pemerintah ASEAN, usaha dan pengorbanan yang tidak kenal lelah dari semua bahagian masyarakat kita, memainkan peranan penting dalam mengatasi wabak dan penyebarannya di rantau ASEAN kita.

Tuan Yang Terutama Nguyễn Phú Trọng, State President of the Socialist Republic of Vietnam telah memberikan ucapan semasa Majlis Pembukaan Rasmi tersebut.  Dalam memetik ucapan Tuan Yang Terutama, Perhimpunan Agung AIPA pada tahun ini yang diadakan secara dalam talian (virtual) menggambarkan azam National Assembly of Vietnam dan Ahli-Ahli Parlimen AIPA yang berganding bahu dan bekerjasama dalam mengatasi apa jua cabaran.  Sejak penularan pandemik COVID-19, seluruh dunia termasuk rantau ASEAN menghadapi perubahan dari aspek globalisasi, hubungan dan integrasi antarabangsa yang memerlukan penyesuaian terhadap keadaan dan norma baharu ini.  Menurut Tuan Yang Terutama, komuniti ASEAN dan AIPA perlu menekankan pentingnya perpaduan dan ketahanan untuk bertindak balas menghadapi situasi dalam memenuhi aspirasi rakyat, perdagangan dan rakan antarabangsa yang terus meningkat dan berkembang.  Sebagai penggubal undang-undang, anggota parlimen merupakan wakil penting kepada masyarakat.  Selama 43 tahun, AIPA telah memainkan peranan sepenuhnya untuk bergabung dengan ASEAN dan memberikan sumbangan praktikal kepada tonggak pembangunan ASEAN.  Tuan Yang Terutama juga mengingatkan bahawa Perhimpunan Agung AIPA ke-41 ini penting dalam merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2025.   Perhimpunan Agung ini juga memberi kita kesempatan untuk lebih efektif menghadapi perubahan kompleks dalam situasi global dan serantau, serta tantangan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Tuan Yang Terutama Nguyễn Xuân Phúc, Prime Minister of the Socialist Republic of Vietnam dan Chairman ASEAN juga telah memberikan ucapan semasa Majlis Pembukaan Rasmi AIPA Ke-41 tahun ini;  bahawa ASEAN telah memberikan dukungan sepenuhnya dalam menangani pandemik COVID-19 dan berharap parlimen AIPA dan ASEAN akan terus memainkan peranan penting untuk memperkukuh kedamaian serta keamanan dalam membangun ikatan mesra antara negara-negara ASEAN di rantau ini.  Justeru ini akan membangun pertumbuhan pesat dan merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2025.  ASEAN yakin dengan usaha bersama pemerintah dan parlimen anggota, ASEAN akan terus maju terus ke jalan untuk membangun komuniti solidariti, ketahanan, kohesif dan responsif, untuk keamanan, pembangunan, dan kemakmuran.

Pada Sidang Sesi Plenari Pertama yang dipengerusikan oleh Presiden AIPA, Speaker-Speaker negara ahli AIPA telah dijemput untuk memberikan ucapan.  Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam dalam ucapannya telah menyatakan bahawa tema Perhimpunan Agung AIPA ke-41 tahun ini adalah relevan dalam konteks menghadapi cabaran dan norma baharu.  Tema ini lebih menekankan kepada peranan parlimen serantau ASEAN sebagai suara rakyat dan pentingnya solidariti serta tindak balas yang cekap menghadapi isu-isu yang mendesak, sesuai dengan undang-undang antarabangsa.  Kesan pandemik terhadap kesihatan, pendidikan dan ekonomi pada asasnya telah mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian.  Walaupun negara sedang menghadapi cabaran namun adalah mustahak untuk mengekalkan pendekatan memandang ke hadapan dan memastikan kesinambungan kerja AIPA.  Dengan menegakkan semangat ASEAN yang sejati "Unity in Diversity", AIPA akan dapat membantu ASEAN mengatasi apa jua cabaran dan bertindak pantas untuk masa depan.

WhatsApp Image 2020-09-12 at 2.09.40 PM.jpeg

Dalam memetik ucapan Yang Berhormat juga, beliau menyatakan bahawa anggota Parlimen AIPA perlu terus memupuk kerjasama di antara pihak berkepentingan dengan mendorong pertukaran maklumat dalam mengurangkan kesan COVID-19, di samping mengakui cabaran pasca wabak dan merancang langkah pencegahan demi kepentingan rakyat.

Pada mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong usaha rakan-rakan Ahli Parlimen AIPA dalam menangani cabaran global serta serantau melalui perkongsian dan diplomasi.

Perhimpunan Agung AIPA telah memasuki usianya 43 tahun sejak penubuhannya.  Pada asalnya AIPA dibentuk pada tahun 1977 sebagai Pertubuhan Parlimen ASEAN iaitu AIPO oleh para pemimpin parlimen dari beberapa negara terdiri dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand semasa Persidangan Antara Parlimen ASEAN Ke-3 bertempat di Manila, Filipina.  Pada tahun-tahun berikutnya, negara Vietnam, Lao dan Cambodia menjadi ahli kepada pertubuhan tersebut.  Pada Perhimpunan Agung AIPO Ke-27 yang diadakan di Cebu City, Filipina pada tahun 2006, pertubuhan tersebut telah diubah kepada ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) untuk menjadikan pertubuhan sebagai satu institusi yang lebih efektif dan berintegrasi.  Negara Brunei Darussalam kemudiannya menjadi ahli kepada AIPA pada tahun 2009 dan menjadi tuan rumah buat pertama kalinya kepada Perhimpunan Agung AIPA Kali Ke-34 pada tahun 2013.  AIPA juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan masyarakat ASEAN kepada dasar-dasar dan merealisasikan wawasan ASEAN Komuniti 2025.

Perhimpunan Agung AIPA Ke-41 secara dalam talian ini akan bersidang selama tiga hari dan membincangkan isu-isu serantau termasuk isu wabak COVID-19 di peringkat Komiti WAIPA, Young Parliamentarians, Ekonomi, Politik, Sosial dan Organisasi.  Sebanyak 29 agenda akan dibincangkan untuk diluluskan di dalam Joint Communique.  

WhatsApp Image 2020-09-12 at 2.11.19 PM.jpeg


Attachments