Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

14.03.20 MPEC bantu tangani isu pengangguran

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac - Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Brunei Darussalam pada tahun ini, antara lainnya berkaitan dengan bagaimana kita dapat memikirkan langkah-langkah berkesan bagi menangani isu pengangguran.

Beberapa inisiatif berjalan bagi menangani isu pengangguran dengan kerjasama multi-agency, seperti JobCentre Brunei atau (JCB) dan Jabatan Buruh. Melalui proses saringan di JCB yang mula diperkenalkan pada penghujung tahun 2017 hingga Februari 2020. Menurut JCB, seramai 2,949 pencari kerja tempatan mengisikan kekosongan di sektor swasta dan sebanyak 17,579 daripada 36,681 permohonan daripada syarikat-syarikat untuk mendapatkan kelulusan dari JCB untuk mendatangkan pekerja asing ditolak.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dalam Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-16 MMN Tahun 2020 pada hari kelima diadakan pagi tadi.

Dengan tertubuhnya Manpower Planning dan Employment Council (MPEC), ujar Yang Berhormat Menteri usaha-usaha untuk menangani isu tenaga manusia dan pekerjaan akan digiatkan lagi dengan pelaksanaan cadangan dan inisiatif-inisiatif baharu dalam masa yang terdekat dan diharap akan dapat membantu mengatasi isu-isu ini dan dalam masa yang sama menyumbang kepada perkembangan sektor swasta melalui peningkatan kompetensi dan kepakaran pencari kerja tempatan.

''Melalui inisiatif Ease of Doing Business, pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan ekosistem yang menjana perkembangan sektor perniagaan di negara ini dan menjadikan negara ini sebagai destinasi utama bagi Foreign Direct Investment (FDI) juga membantu meningkatkan peluang pekerjaan daripada segi jumlah dan kualiti pekerjaan. Walau bagaimanapun, kita tidaklah boleh mengharap kepada kerajaan sahaja. Adalah diharapkan agar majikan-majikan di sektor swasta juga memainkan peranan masing-masing dalam membantu pekerja-pekerja mereka untuk bertahan lama agar pekerja tidak melihat sektor swasta sebagai pekerjaan sementara," ujar Yang Berhormat Menteri.


(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments