Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

06.01.20 Dua Projek Rancakkan Pembangunan Temburong

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Dua projek pembangunan akan bermula di Daerah Temburong sekali gus menambah produk pelancongan dan aktiviti pelancongan yang diharap dapat menyumbang kepada peluang pekerjaan dengan mewujudkan lebih 40 pekerjaan dalam masa lima tahun dan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan termasuk pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di daerah berkenaan.

Majlis penandatanganan bagi kedua-dua projek tersebut bersama Eco-Green Development Sdn Bhd dan Sunshine Borneo Tours & Travel Sdn Bhd selaku pengendali kedua-dua projek berkenaan telah diadakan hari ini di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para pegawai Pejabat Daerah Temburong, pegawai-pegawai kanan KSSUP dan wakil Eco-Green Development Sdn Bhd dan Sunshine Borneo Tours & Travel Sdn Bhd.

Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP, telah melantik Eco-Green Development Sdn Bhd untuk mengendalikan Projek Pelaburan, Pembangunan, Operasi dan Penyelenggaraan Resort Eko Mewah di Kampung Perdayan Temburong dan Pembaharuan, Operasi dan Penyelenggaraan Pejabat Daerah Lama di Pekan Bangar.

Manakala itu, Sunshine Borneo Tours & Travel Sdn Bhd pula dilantik untuk mengendalikan projek Pelaburan, Pembangunan, Operasi dan Penyelenggaraan Pusat Sungai di Kampung Batang Duri.

Menandatangani perjanjian bagi pihak Eco-Green Development Sdn Bhd ialah pengarahnya, Lim Wei Su dan Arkitek Utama Eco Bumi Arkitek, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, manakala itu, Sunshine Borneo Tours & Travel Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Chieng Hock Kiet dan Pengarah, Jerome Fan Yau Yong.

Menandatangani kedua-dua perjanjian bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan, Haji Zulzalani bin Haji Osman dan Setiausaha Tetap di KSSUP, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak.

Menurut kenyataan yang diberikan, projek resort eko mewah dihasratkan dapat mewujudkan elemen eko-resort mewah yang terintegrasi secara komprehensif untuk produk mewah, mampan, selamat, boleh dipercayai dan berpatutan di kawasan Kampung Perdayan yang boleh dinikmati oleh pengunjung domestik dan asing.

Manakala itu, pembaharuan Pejabat Daerah Temburong yang lama di Pekan Bangar pula adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Eco-Green yang mana syarikat berkenaan juga akan mengendalikan dan menyelenggarakan bangunan berkenaan.

Pejabat itu akan menyediakan pusat maklumat untuk pengunjung yang datang ke Temburong dan ruang pameran bagi masyarakat tempatan untuk mempamerkan dan menjual produk teorinya dan kraf tangan tradisional tempatan.

Projek Pusat Sungai di Kampung Batang Duri pula bagi memastikan jadual perkhidmatan ulang-alik temuai atau Longboat dari Kampung Batang Duri ke Taman Negara Ulu Belalong dengan memastikan dan mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi untuk semua pelawat pada setiap masa.

Pusat berkenaan juga akan memberikan suasana menunggu yang selesa kepada pengunjung semasa menunggu ketibaan temuai di samping disediakan surau, tempat berwuduk, tandas dan bilik persalinan.

 

(sumber berita: Media Permata)

Attachments