Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

28.12.19 Memastikan Keselamatan, Kesejahteraan Mangsa Banjir

Belait, Sabtu, 28 Disember - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait dari semasa ke semasa terus membuat pemantauan keadaan cuaca dan paras air sungai bagi kawasan-kawasan yang terjejas banjir.

Sehubungan itu, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohammad Amir Hairil bin Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Bandaran Dan Daerah), KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut; dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan membuat tinjauan ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir di Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait, hari ini.

Sebelum meninjau ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir, Setiausaha-setiausaha Tetap mendengar penerangan dari Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad, selaku Pengerusi Pusat Operasi Kecemasan Daerah mengenai status terkini dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir.

Situasi di Mukim Sukang pada masa ini dalam keadaan terkawal namun begitu, pihak DDMC Belait yang terdiri daripada pelbagai agensi telah dan sedang melaksanakan pemantauan secara berterusan sekiranya penduduk yang terjejas dan berisiko banjir memerlukan keperluan bantuan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung.

Melalui langkah-langkah yang telah diambil dan kerjasama daripada Ketua-ketua Kampung membolehkan DDMC Belait bertindak secara bersepadu dan sentiasa bersiap sedia dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk-penduduk kampung.

Beberapa buah perahu disediakan bagi kemudahan pengangkutan penduduk-penduduk kampung yang terjejas banjir.

Pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) juga menghulurkan barang catuan makanan kepada penduduk yang terjejas setiap minggu.

Setiausaha-setiausaha Tetap juga seterusnya meninjau ke beberapa kawasan terjejas banjir dan seterusnya menyerahkan bantuan catuan kepada mangsa-mangsa musibah banjir di Kampung Sungai Mau, Kampung Laid Lakang, Kampung Merangking Hilir dan Kampung Kandol.

Sebanyak 13 bantuan catuan telah diserahkan kepada penduduk-penduduk kampung yang terjejas banjir, iaitu lima catuan di Kampung Sungai Mau, di Kampung Laid Lakang sebanyak dua catuan, di Kampung Merangking Hilir sebanyak dua catuan, dan empat catuan di Kampung Kandul.

Bantuan catuan tersebut diserahkan seminggu sekali oleh pihak JAPEM.

Lawatan tersebut merupakan usaha bersepadu dan muafakat, agensi-agensi kerajaan khususnya Penghulu Mukim, Ketua Kampung, Jabatan Daerah Belait, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Ambulan (EMAS), Pusat Kesihatan, JAPEM, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam membuat pemantauan secara berterusan ke atas kawasan-kawasan yang terjejas banjir.

Hadir sama menyertai lawatan kerja tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd. Siput yang juga Pemangku Penghulu Mukim Labi; Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin; Penghulu Mukim Bukit Sawat, Awang Haji Mohd. Salleh bin Othman; Pemangku Pengarah NDMC, Awang Lim Hock Guan; Ketua Kampung Bukit Sawat; Pemangku Ketua Kampung Merangking, serta pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, iaitu KHEDN, KKBS, Jabatan Daerah Belait, NDMC, ABDB, PPDB, JBP dan JAPEM.

 

(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments